Tuesday, March 17, 2009

Saidina Umar Al-Khattab r.a

Oleh Mohd Amiruddin Bin Hamzah

Saidina Umar Al-Khattab atau terkenal dengan gelaran "Al-Farouk" merupakan salah seorang sahabat agung dan tokoh terkenal dalam perkembangan Islam. Falsafah pemikiran beliau amat memberi kesan dalam pembentukan masyarakat Islam bahkan menjadi idola dan diiktiraf bukan sahaja oleh umat Islam malah oleh sarjana Barat. Setiap titik peninggalan beliau baik sama ada dalam politik, ketenteraan dan pengurusan awam, menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang ada masa kini. Beliau telah diiktiraf oleh ramai penulis barat, sebagai contoh Micheal H. Mart dalam bukunya, 100 Most Influential People, sebagai individu ke 52 paling berpengaruh dalam sejarah peradaban Manusia. Mungkin senarai ini agak jauh di belakang Rasulullah s.a.w yang dinobat sebagai nombor satu dalam senarai itu, tetapi dua nama inilah yang telah diterima oleh penulis berkenaan daripada golongan Islam.

Umar Al-Khattab mempunyai keunikan tersendiri dalam sejarah Islam. Beliau merupakan salah seorang daripada 4 Khalifah Al-Rasyidin yang dilantik mewarisi legasi kepimpinan Nabi s.a.w. Beliau adalah seorang yang dijanjikan syurga dan menurut cerita sirah, keislaman beliau didoa oleh Rasulullah s.a.w. Sebelum Islam, beliau adalah seorang yang amat kuat berpegang kepada ajaran nenek moyang kaum Arab Quraisy. Beliau amatlah bepengaruh dan mempunyai pemikiran yang sangat tinggi nilai falsafahnya. Sehinggakan Rasulullah s.a.w pernah mengatakan sekiranya ada seorang nabi lagi selepasnya, maka Umarlah orang itu. Pada zaman pemerintahan beliau, kekuasaaan Islam berkembang sehingga ke 3/4 dunia. Pernah pada zamannya, beliau memberikan kuasa autonomi kepada kawasan-kawasan tertentu, tetapi mereka tetap mahu berpayung di bawah kerajaan Islam Madinah yang dipimpin oleh Umar al-Khattab.

Disamping sikapnya yang tegas dan bengis, sehingga bukan sahaja digeruni oleh manusia malah pernah diceritakan bahawa Nabi s.a.w bersabda, apabila beliau melalui suatu jalan, syaitan tidak akan berani terserempak dengannya, dan syaitan akan menggunakan jalan yang lain. Namun begitu, pernah juga diceritakan bahawa beliau pernah terlewat untuk bersolat degnan Nabi kerana beliau berjalan di belakang seorang perempuan tua yahudi yang kafir. Beliau, lantaran tingginya akhlak dan pekerti, tidak memotong jalan wanita berkenaan bimbang tindakan beliau akan menjadikan beliau seorang yang tidak menghormati orang tua. Sikap bengis dan rendah diri yang amat jauh perbezaannya dapat dilihat dalam satu juzuk tubuh manusia ini yang hitam sejarah jahiliyyahnya. Pada waktu malamnya, dikhabarkan beliau sering memukul-mukul di belakang badannya kerana menyesal atas perbuatannya sewaktu jahiliyyah. Walaupun dijanjikan syurga, beliau tetap berkata, jikalau seluruh manusia masuk ke syurga dan seorang sahaja yang tidak, beliau khuatir orang itu adalah dirinya.

Tulisan ini sebenarnya lebih untuk membincangkan pemikiran yang ada pada Umar sehingga bukan sahaj amat dominan dalam pembelajaran ilmu Islam, bahkan menjadi ikon penting dalam perkembangan Islam seluruh dunia yang kita dapat rasai pada hari ini. Umar mempunyai kedudukan dari segi kuturunan dalam masyarakat Arab yang mana tergolong dalam golongan Quraisy yang mempunyai darah sealiran dengan Rasulullah s.a.w, sebagaimana rakan-rakan sahabat yang lain. Umar juga merupakan antara panglima perang dan pemuka bangsa dan kabilahnya. Karisma kepimpinan beliau telah terserlah sebelum Islam dan keislaman beliau memberi satu perubahan yang cukup besar dalam agenda da'wah. Kerana sebelum Islamnya Umar, para sahabat takut untuk bersolat secara terbuka, tetapi apabila Islamnya Umar, para sahabat yang bersolat secara terbuka di Masjidil Haram, takut ditegur oleh kutu Quraisy yang diupah oleh Abu Jahal an pemuka musyrikin yang lain.

Hidup dan Berkhidmat Berasaskan Polisi
Umar adalah seorang yang amat kuat berpegang kepada polisi dan prinsip yang telah dibentuk. Polisi pertama yang ditaati oleh beliau adalah Al-Quran, dan kedua adalah Sunnah Rasulullah s.a.w. Beliau secara terang telah berkata dalam khutbah kepada kaumnya, bahawa beliau hanyalah Umar, sekiranya beliau melanggar perintah Allah dan Rasulnya dalam memerintah, beliau menggesa umat Islam menegurnya. Dalam konteks ini dapat dilihat bahawa, keterbukaan pemimpin untuk dikritik, ditegur oleh hamba rakyat adalah amat penting dalam pembentukan sebuah pemerintahan yang stabil. Kecenderungan pemerintah untuk mengambil kira kritikan yang membina adalah merupakan satu rahmat kerana melalui penerimaan tersebut, pembaharuan dan 'correction' dapat dilakukan. Beliau juga boleh mengubah polisi yang telah dibentuk sekiranya polisi yang ada bertentangan dengan Al-Quran dan al-Sunnah atau membelakangkan rakyat kebanyakan.

Rendah Diri sebagai Pemerintah
Umar adalah seorang pemerintah yang agung dalam sejarah Islam. Peristiwa pembukaan kota Baitul Maqdis menjadi bukti bahawa Umar adalah seorang yang bukan berjiwa kecil. Selepas pembukaan kota tersebut, beliau telah dijemput oleh golongan Arab yang menetap di sana. Dalam perjalanan, beliau hanya bersama degnan seorang khadamnya. Mereka berdua telah berjanji akan bergilir-gilir secara adil dalam mengenderai unta terbabit. Setibanya dipintu masuk kota Maqdis, tiba giliran Khadamnya untuk mengenderai unta. Khadamnya enggan naik ke atas unta bimbang nanti rakyat Baitul Maqdis akan tersalah faham dan menyangka dirinya adalah Umar. Umar menjadi marah dan berkata bahawa mereka telah mempunyai perjanjian dan sekiranya beliau naik unta terbabit, maka beliau telah tidak adil. Akhirnya khadam beliau naik dan Umar berjalan kaki beriringan menyapa pintu kota Baitul Maqdis. Maka menangislah orang ramai yang berbaris melihat peristiwa itu lantaran melihat bagaimana seorang khalifah yang agung berjalan atas tapak kakinya beriringan dengan khadamnya di atas unta. Contoh rendah diri ini menjadikan Umar seorang yang amat digeruni dalam Islam.

Kebergantungan dan Kemanusiaan
Dalam kisah ini, beberapa pengajaran yang boleh di ambil. Pertama, kebergantungan kepada tuhan adalah satu ciri yang amat tinggi dalam seseorang pemerintah. Umar hanya ditemani seorang khadamnya dan tidak diiringi oleh kumpulan tentera sekali pun. Bahkan sekiranya diserang ditengah jalan oleh perompak pun, tidaklah mereka terlawan dengan perompak yang ramai itu. Kedua, pemerintah perlulah mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi. Sekiranya Umar mahukan khadamnya berjalan sedang beliau menaiki unta pun (memang kebiasaan bagi pembesar pada masa itu, mereka di atas tandu), tidak lah menjadi salah dari segi adat. Atau kalu ingin di bawa dua unta pun, masih tidak salah kerana urusan rasmi. Tapi mungkin bagi Umar, itu hanya membazirkan wang negara sahaja. Namun, sifat keimanan dan ketakwaan beliau yang tinggi, menjadikan bahawa yang hanya membezakan antara khalifah dan rakyat hanyalah tanggungjawab dan amanah yang dipikul, sedang yang lainnya, makan pakainya, tetap sama.

Kebajikan Rakyat Sebagai Amanah Tertinggi
Pernah dalam suatu ketika, beliau berjalan malam bersama khadamnya. Beliau melewati sebuah rumah yang masih lagi bercahaya dan riuh rendah suaranya. Sedang rumah lain telah gelap menandakan semua pelita telah ditutup dan ahlinya telah tidur. Didekatilah rumah terbabit dan kelihatan seorang ibu yang sedang memasak dan anak-anak kecil yang sedang bermain. Terdengar suara anaknya yang bertanya, "Ibu, kami lapar. Bilakah masakan ibu nak siap?". Ibunya menjawab, "sekejap lagi nak. Mainlah dulu". Kanak-kanak itu pun bermain-main sehingga tertidurlah mereka. Umar hairan melihat ibu itu. Kemudian, Umar mengetuk pintu. Tanpa memperkenalkan diri, ditanya ibu tadi, "kenapakah engkau tidak memberi makanan kepada anak-anakmu sedangkan mereka lapar?". Maka dijawab ibu tadi, "tuan, aku terpaksa berolok-olok memasak sesuatu untuk membuatkan mereka tertunggu-tunggu dan tertidur kerana penat menunggu. Aku hanya memasukkan beberapa ketul batu dalam periuk itu. Kemudian bertanya Umar, "tidakkah ada sesiapa yang datang membantu mu?" Maka berkata ibu tadi, "tidak ada, bahkan khalifahpun tidak ambil peduli!". Bercucuran air mata Umar mendengar kata-kata sedih ibu itu. Tamparan hebat kepada dirinya sebagai pemerintah.

Maka diarah khadamnya membawanya ke perbendaharaan negara dan dikeluarkan seguni gandum. Khadam tadi ingin mengangkat guni tersebut tetapi disekat. Lalu berkata Umar, "inilah tanggungjawabku, amanahku, biarlah aku memikulnya". Guni dipikul dan kemudiannya dibawa ke rumah ibu yang malang itu. Kemudian diminta izin daripada ibu itu untuk masuk ke dapur. Umar mengambil peniup dan dihidupkan api dan dimarakkan. Khadamnya berkata "aku lihat janggut beliau dipenuhi denagan debu dan habuk tempat memasak". Kemudian dibakar gamdum yang telah diuli dan menjadilah roti. Apabila terkejut anak-anak dari tidur, makanlah mereka dengan girangnya. Berkatalah ibu tadi "Sungguh baik pekerti dan budi tuan, kalaulah khalifah seperti tuan!". Bercucuranlah airmata Umar lantaran suara ibu itu benar-benar menusuk kalbunya. (Cerita ini telah digarap agar sesuai dengan artikel ini).

Kisah yang amat masyhur dalam sejarah politik Islam ini merupakan satu kisah yang mempunyai nilai yang amat tinggi. Bagaimana seorang pemerintah yang tertinggi, amat berendah diri dan menjalankan kewajipan hingga ke larut malam. Menongkah kegelapan malam dan melihat keadaan rakyatnya. Beliau menunjukkan tanggungjawab yang tinggi sehingga beliau sendiri yang memikul guni gandum dan memasaknya di rumah rakyatnya. Lihat sahaja satu athar yang masyhur mengenai Umar apabila beliau berkata, "aku takut di akhirat nanti, aku ditanya tentang oleh seekor keldai, bahawa aku telah tidak menutup satu lubang sehingga keldai jatuh dalam lubang berkenaan.". Lihatlah betapa tinggi amanah yang dijunjung oleh Umar.

Umar Seorang Mujtahid yang Berfikiran ke Hadapan
Melihat kepada keadaan para sahabat yang hafiz al-Quran yang gugur dalam peperangan dengan mereka yang murtad akibat enggan membayar zakat, maka Umar termenung. Lalu bergegaslah beliau kepada Abu Bakar yang menjadi khalifah pada waktu itu dan berkata, "aku bimbang suatu hari nanti ayat-ayat ini akan hilang!. Kumpullah dia!" Abu Bakar menjadi gusar dengan usul Umar ini kerana padanya, perkara ini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah .s.aw. Beliau teringat bahawa memang Rasulullah s.a.w mengarahkan ayat-ayat itu ditulis, tetapi, tidak pernah mengarahkan untuk dikumpul. Bagaimana untuk disusunnya? Sehinggalah Allah menetapkan hatinya dengan memanggil sahabat yang paling dekat dengan Rasulullah s.a.w semasa hayatnya dan paling baik penghafazannya. Maka diputuskanlah agar Zaid bin Thabit mengumpul dan menyusun bacaan berdasarkan susunan dan bacaan Rasulullah s.a.w. Terkenallah kata-kata Zaid, "kalau disuruh aku mengcangkul rata gunung Thaifpun, aku sanggup dari melakukan kerja ini."

Banyak kisah-kisah yang menunjukkan bagaimana Umar menjadi seorang mujtahid yang hebat. Beliau bukan sahaja berani malah ijtihad yang ada pada dirinya amatlah tinggi lantaran cahaya keimanan yang ada. Beliau terkenal dalam pemberian ijtihad mengenai perkara faraid. Beliau adalah seorang yang menggunakan kaedah Awl dalam faraid iaitu melebihkan satu bahagian untuk menjadikan asal masalah pembahagian faraid tepat dan pembahagian dapat dijalankan. Sebagai contoh apabila si mati meninggalkan anak perempuan tanpa anak lelaki. Sibapa kepada si mati boleh mewarisi secara asabah (mengambil baki kerana tiada anak lelaki sebagai hijab) dan mewarisi juga dalam kapasiti sebagai ayah dengan bahagian 1/6 daripada harta si mati. Dalam perkiraan biasa, sibapa tidak akan mendapat asabah kerana setelah ditolak 1/2 bahagian kepada anak perempuan, bahagian ibu 1/6, dan suami sebanyak 1/4, kesemua harta telah habis. Maka diwujudkan satu konsep iaitu awl (bahagian harta dikecilkan lagi) dan akhirnya pembahagian dapat di buat. Begitu juga ijtihadnya dalam pembahagian harta pusaka kepada ibu dahulu apabila simati meninggalkan seorang isteri, ibu dan ayah. Kisah ini amat terkenal dengan penyelesaian Umariyyataan.

Pemerintah bukan sahaja perlu mampu membuat analisis dan keputusan, malah perlu bijak merancang masa depan. Tindakan beliau mengubah pimpinan tentera kepada yang lebih muda memperlihatkan beliau bijak mengaturkan strategi tanpa bergantung kepada susuk tubuh diri seseorang, tetapi kebolehan dan kelebihan yang ada pada seseorang. Ciri-ciri ini membuatkan Umar seorang tokoh ulung negarawan Islam. Kalaulah Umar itu dipanjangkan umurnya, mungkin seluruh dunia di bawah kekuasaaan Islam. Kesmua cerita mengenai Umar bukanlah diciptakan oleh Umar untuk kepentingan politiknya, tetapi disebut oleh orang sekitarnya.

Sebenarnya, kalau hendak ditulis mengenai kekuatan dan kegemilangan peribadi Khulafa' Al-Rasyidin, memang tidak cukup kertas untuk digarap. Mereka adalah golongan yang lebih awal dan memperlihatkan keteladanan dan contoh ikutan yang baik berlandaskan apa yang digariskan oleh Allah dan rasulNya. Sedang dunia Islam menyepi dan lebih berbangga dengan mereka yang tidak sepatutnya, masih masyarakat barat dan bukan Islam cuba menyelidiki latar belakang tokoh kita yang tidak ada tolok bandingnya. Setengah-setengah perkara dan polisi pemerintahan khulafa' ini dijadikan teras pemerintahan negara-negara barat. Walaupun legasi Khalifah Al-Rasyidin yang empat diteruskan oleh kerajaan Islam yang lebih berbentuk monarki, tetapi nilainya tidak sampai ke tahap yang dicapai oleh mereka. Justeru, marilah kita sama-sama pulang dan membuat pembaharuan kepada minda kita dan berusaha menjadikan negara-negara umat Islam sebuah negara yang dihormati dan diliputi awan sejahtera, dan bukanlah meniti di bibir sahaja. -ah.

9 comments:

ustazshafiee said...

uish.. kalau anak murid abang baca, best plagiat ni. siap la satu assignment pasal tokoh islam.. apapun, nice writing.. hanya orang yang menulis je tahu betapa sukarnya nak menulis sabaik tulisan ni.

Amir Hamzah said...

@Kekanda: Terima kasih. Bagi lah grading.. hehe. Anyway, thanks for the comment. I really appreciate that. Walaupun penulisan ni agak panjang, dan mungkin agak berat, namun yang penting methodologi dan asas penulisan Islam di pelihara. Amir berprinsip, tulisan menggambarkan jiwa. Tenang penulisan tersebut, tenanglah orangnya. Tulisan adalah menifestasi penterjemahan jiwa.

Kadang-kadang penulisan artikel bebas atau mungkin kita kategorikan separa-ilmiah tidak mencapai tahap yang dikehendaki oleh pihak Universiti. Isi-isi digarap berdasarkan ingatan dan pemahaman bacaan dan bukan dibuat secara kritikal iaitu dengan menyatakan sumber rujukan (footnote) dan bibliography yang lengkap.

Kalau budak abang plagiat, tak pe, penat dia nak cari sumber. Kalu dia hantar macam tu je, sure C! - ah.

Joyah Sempoi said...

one of the bloggers yang sangat sy gemari kalau menulis bab agama...

ustazshafiee said...

kalau buat speech untuk kenaikan pangkat pun ok jugak.. PTK

erm. nanti abang komen. nak travel ke trganu pulak.. see yea..

ustazshafiee said...

joyah sempoi:
adinda sy ni antara yang bagus dalam critikal thinking. tak macam abang dia nih.. abang dia ni penulisan di tahap kiritikal :)

Amir Hamzah said...

@Joyah: Thanks for the regards. Banyak blog yang diabangunkan memberi manfaat yang besar kepada kita. Pendek kata, dakwah dihujng jari. Hanya kita sahaja yang lari.

@kekanda: Ahak, critikal thinking is the key for your PhD thesis. Bagi amir, thinking kita ni ada style masing-masing berdasarkan pengalaman dan pembacaan. Ada orang negative-base thinking ada orang positive base thinking. Tak kurang juga yang opportunis dalam berfikir. Merendah diri menjadikan kita besar hati.

ustazshafiee said...

adinda amir:
betul tu... kekadang kita tidak tahu kita terpengaruh denga pemikiran siapa.. mungkin sekarang kita berkata kita bermazhab shafiee dalam fiqh dan bermazhab as-sha'ari dalam akidah.. tetapi bila check-check.. la.. berfikiran muktazilah rupanya.. :)

bintulqaryah said...

Salam.. Isi amat padat dan saya tak perlu buka web lain untuk tulis tentang Saidina Umar ni. Kebetulan dapat tugasan dari Dukturah untuk buat 'bahs' tentang Saidina Umar. Minta izin jadikan rujukan yaa.. Syukran..

Anonymous said...

blh sy tahu rujukan encik??untuk dapat maklumat lebih lanjut..brminat criter sirah n perjuangan nabi dlm menegakkan islam