Monday, April 20, 2009

Maryam, Ikon Wirawati Islam Sepanjang Zaman

Oleh Mohd Amiruddin Hamzah

Nama Maryam bukanlah satu nama yang "favorite" yang selalu dipilih oleh para ibu bapa dalam menamakan anak-anak perempuan mereka. Selain kelihatan agak ketinggalan dan nama tersebut mungkin menurut mereka tidak moden bunyinya jika dibandingkan dengan nama-nama moden yang cantik disebutnya, tetapi tidak cukup helaian kamus apabila hendak diketahui maksudnya. Namun begitu, dalam Islam, nama ini adalah satu nama yang besar dan diterima oleh tiga ugama utama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.

Maryam adalah satu nama yang besar dalam Al-Quran. Nama yang merujuk kepada seorang wanita suci yang menjadi pilihan tuhan ke atas semua wanita yang diciptakan tuhan. Maryam adalah satu-satunya nama wanita yang disebut secara soreh dalam al-Quran, dan apabila dibariskan, maka ternyatalah beliau mempunyai kedudukan sebaris dengan Nabi-nabi yang dirakam nama mereka yang asal dalam al-Quran. Maryam adalah seorang yang menjadi penanda aras keimanan yang tinggi kepada Allah bagi kaum hawa, sedang sesetengah isteri Rasulullah yang bergelar Ummu Mu'minin, malah sahabat-sahabat baginda s.a.w yang dijanjikan syurga, tidak pernah disebut nama mereka dalam al-Quran, walaupun kisah mengenai mereka disebut.

Kemuliaan Maryam bukanlah biasa. Telah tersebar bahawa anak yang bakal dilahirkan oleh isteri Nabi Zakaria adalah seorang anak lelaki yang akan menjadi pembela kaum bani Israel yang tertindas oleh wakil raja roman, sehinggalah semua pendeta menunggu-nunggu kelahiran itu, dan raja yahudi pada waktu itu sangat gusar dengan keadaan ini, tetapi amat mendukacitakan kerana anak yang ditunggu-tunggu itu lahirnya seorang perempuan. Peristiwa ini dirakam dalam al-Quran dalam Surah Ali Imran ayat 36:



Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)".

Keadaan ini membuatkan keluarga ini sangat dukacita kerana yang ditunggu-tunggu adalah seorang anak lelaki yang telah dijanjikan dalam kitab taurat kepada kaum Bani Israel. Lihatlah betapa tingginya ujian yang Allah berikan kepada hambanya yang bergelar nabi ini. Allah s.w.t telah menerima doa ibunya dan memelihara Maryam daripada bukan sahaja godaan syaitan, bahkan godaan dunia sekalipun.

Dari kecil lagi, Maryam memiliki kelebihan mengetahui syariat-syariat nabi-nabi Bani Israel dengan mendalam dan ini menghairan golongan pendeta. Kehebatan ini berterusan dan menjadikan beliau seprang biarawati yang sangat terpelihara, dan ini menyemai suara-suara cemburu daripada biarawati yang lain. Sehingga tidak ada seseorang pun yang boleh memasuki kamar ibadatnya. Kehebatan Maryam juga yang mana terletak kasih sayang tuhan apabila setiap kali Ayahandanya masuk, adalah didapati di sisi beliau makanan yang baik-baik. Apabila ditanya, Maryam menjawab bahawa ianya daripada sisi tuhan. Begitulah kehebatan pengibadatan Maryam sehingga beliau adalah seorang wanita yang dipilih sebagai serikandi islam sepanjang zaman.

Cubaan Getir
Apabila Allah meletakkan ujian sebagai satu bentuk kasih sayangnya kepada hambaNya, menjadikan ujian yang dilalui oleh maryam sebagai cubaan yang paling berat dalam sejarah wanita, yang menjadi coretan sepanjang zaman. Apabila diutuskan Malaikat kepada beliau, lalu ditiup roh Nabi Isa ke rahimnya, gusarlah maryam. Hairanlah, bagaimana beliau yang tidak pernah disentuh sesiapa, boleh mengandung. Seorang yang sangat kuat beribadat, sekarang berdepan dengan situasi yang sangat getir. Mengandung! Dalam adat manusia, hanya Adam sahaja yang tidak berbapa dan tidak beribu. Sedangkan manusia mestilah berayah. Masa berlalu dan kandungannya semakin membesar. Akibat rasa dendam dan cemburu, maka Maryam diusir. Walaupun sebelum ini Maryam dikenali dengan perwatakan jujur dan amanah, semua watak-watak ini tenggelam dalam masyarakat bani Israel pada waktu itu. Berjalanlah Maryam dalam keadaan yang sangat menyakitkan. Dicemuh oleh masyarakat sekelilingnya.

Sehinggalah diperintahkan oleh Allah s.w.t supaya pergi ke satu tempat yang terpencil yang sangat kering di pinggir Masjidil Aqsa itu. Berjalanlah Maryam dalam keadaan sedih dan kesakitan ketika hendak melahirkan anak. Lalu Allah mengutuskan Jibril dan dihemburkan air daripada tapak Maryam. Digugurkan buah tamar yang enak daripada pokok tamar yang disandari oleh Maryam yang sebelum itu hanyalah pokok kering tanpa daun, kini lebat dan menghijau.

Maryam Pulang kepada kaumnya
Setelah menghirup keseronokan dibuai dengan nikmat Allah daripada mata air, buah tamar sehinggalah seorang anak yang comel, Allah memerintahkan Maryam supaya pulang kepada kaumnya. Gundah gulana hati Maryam bagaimana dia ingin berhadapan dengan kaumnya yang pastinya akan menyakitinya dan anaknya. Mak Allah berfirman supaya janganlah dikhuatirkan. Hanya jangan Maryam berkata-kata dan berbuat seperti puasa daripada berkata-kata.

Demi ketaatan kepada Allah, Maryam melangkah gagah kepada bandar Baitul Maqdis. Ketika dalam perjalanan, beliau bertemu dengna dua orang pemuka kaumnya yang kemudian berlari memanggil semua orang supaya berkumpul di bandar. Tatkala Maryam sampai ke Bandar, kumpulan orang ramai itu diketuai oleh ketua biarawan yang kemudiannya mencela Maryam kerana pulang dengan seorang anak yang pada pengetahuannya sebagai anak haram. Suara-suara lain daripada biarawan dan biarawati yang lupa akan kuasa tuhan pada waktu itu, mencanangkan agar Maryam dan anak itu dibakar agar menjadi pengajaran kepada semua biarawati agar jangan membuat onar. Dipaksa Maryam supaya menjawab pertuduhan itu. Tetapi Maryam hanya menunjukkan secebis bibirnya kepada anak yang didukungnya lembut. Tertawalah Pemuka Biarawan itu disertai oleh biarawan-biarawan yang lain. Lalu berkata ketua terbabit.. "lihatlah kaum, dia mahukan aku bertanya kepada anak ini. Baiklah, Dengarlah pertanyaan ku, wahai anak siapakah kamu?"

Lalu bercakaplah anak dalam dukungan Maryam, sepertimana firman Allah s.w.t, ayat 30-34 Surah Maryam

"Ia menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)". Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya.

Maka jatuh dan rebahlah pemuka-pemuka, biarawan dan biarawati yang menuduh Maryam atas dakwaan yang dusta itu. Tunduklah semua kaumnya yang benar-benar terharu tentang kemuliaan yang Allah berikan kepada seorang yang bernama Maryam dan seorang yang bernama Isa.

Pengajaran dan Kisah Maryam
Pengajaran daripada kisah maryam bolehlah disimpulkan kepada beberapa perkara, seperti yang saya dapat simpulkan seperti berikut.

i. Nama Maryam dibersihkan dengan keterangan yang paling tinggi
Dalam kes Maryam, beliau telah dituduh berzina dan pada waktu itu, beliau boleh dibakar hidup-hidup memandangkan kedudukan beliau yang tinggi dikalangan biarawati. Anak yang dilahirkan adalah satu keterangan tentang kemungkinan berlakunya perbuatan zina menurut adat kebiasaan manusia. Tetapi, Allah memberikan satu pembuktian yang cukup tinggi yang diluar kebiasaan manusia iaitu anak yang baru berusia beberapa jam mampu berkata-kata dengan fasih dan difahami manusia. Secara langsung, nama Maryam dibersihkan hanya dalam sekelip mata.

ii. Maryam Wanita Pilihan dan Ketulinan Al-Quran
Al-Quran adalah kitab yang tertinggi yang bukannya ciptaan Manusia. Hujahnya, kalau Al-Quran itu ciptaan seorang yang bernama Muhammad, kenapa Muhammad memasukkan satu nama wanita sahaja yang hidup sebelumnya iaitu Maryam. Sedangkan nama-nama yang diketahui Nabi Muhammad s.a.w seperti Khadijah dan Aisyah atau nama ibunya Aminah, tidak dimasukkan dalam Al-Quran walaupun baginda maat menyayangi mereka. Justeru, kemuliaan Al-Quran yang hanya menyebut nama para Nabi sahaja dan beberapa individu yang mencapai tahap kenabian dan kesucian yang tinggi seperti Luqman dan Maryam dan beberapa nama Malaikat. Berbeza dengan kitab-kitab yang telah diubah dan ditokok tambah yang menyebut nama manusia yang amat banyak sudah pasti menunjukkan kepentingan manusia terbabit. Ini menjadikan Maryam sebagai wanita pilihan seperti mana yang disebut oleh Al-Quran dalam surah Ali Imran, ayat 42 yang bermaksud:

"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu). "

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Ibnu Kathir membawa hadith berikut yang dicatat dalam Dua kitab Sahih (Bukhari dan Muslim) iaitu:

وقال هشام بن عروة عن أبيه عن عبد الله بن جعفر عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى يقول : " خير نسائها مريم بنت عمران وخير نسائها خديجة بنت خويلد " . أخرجاه في الصحيحين من حديث هشام
"Berkata Hisyam bin Urwah daripada bapanya daripada Abdullah bin Ja''far daripada Ali bin Abi Talib, beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sebaik-baik wanita (pada waktunya) adalah Maryam Binti Imran dan sebaik-baik wanita (pada waktu Islam) adalah Khadijah binti Khuwailid."
Daripada hadith ini jelaslah dua tokoh agama ini adalah yang terbaik pada waktunya iaitu Maryam pada zaman Taurat dan Khadijah pada zaman Al-Quran, sedang nama Maryam sahaja yang dinukilkan dalam Al-Quran dan Khadijah dilakarkan kisahnya sahaja. Pada pendapat penulis, Khadijah tidak dinukilkan namanya dalam Al-Quran bagi menunjukkan ketulinan Al-Quran dan al-Quran bukanlah ciptaan Nabi s.a.w.

iii. Kisah Maryam menguji Maryam dan Kaumnya
Allah berkuasa menjadikan apa sahaja. Pada waktu Maryam dan Kelahiran Isa, telah berkembang satu ilmu yang dinamakan logik yang mana para pendeta telah berusaha untuk memahami ajaran taurat mengikut apa yang berlaku disekeliling. Pada akhirnya, sebilangan pendeta mula berpegang kepada aqli atau logik melebihi kepercayaan kepada kekuasaan tuhan menjadikan apa sahaja. Ini boleh dibuktikan dengan beberapa mukjizat Nabi Isa yang melampaui logik akal seperti beliau berkata-kata ketika baru dilahirkan, menyembuhkan penyakit sopak, bahkan menghidupkan binatang yang telah mati dengan izin Allah. Mukjizat seperti ini melangkaui logik manusia yang mana sudah pasti seorang bayi yang baru lahir mampu berkata-kata dengan fasih, manusia yang mati dan burung yang mati dihidupkan. Mukjizat ini tidak zahir pada nabi-nabi lain selain nabi Isa a.s. Justeru, kisah Maryam adalah bukti bahawa Allah mampu bahkan lebih daripada berkuasa untuk melakukan sesuatu yang diluar pengetahuan dan adat manusia. Kebergantungan kepada Allah s.w.t adalah kunci pertolongan Allah dan kesabaran pastinya akan membawa kepada kejayaan di dunia dan diakhirat.

Penutup
Kisah Maryam menjadi ikon wanita sepanjang zaman. Lihatlah bagaimana ujian yang Allah berikan kepada beliau, pastinya tidak tertanggung oleh wanita lain. Dan Allah memahami sedalam-dalamnya (khabir) tentant hambaNya dan hanya ujian yang mampu di bawa sahaja yang akan diberikan. Dan Maryam, diuji dengan ujian getir sepanjang beliau mengandung kepada Nabi Isa a.s., dan semua kitab memperakui bahawa Maryam telah lulus dengan jayanya. /ah.

5 comments:

ustazshafiee said...

assalamualaikum...
kisah maryam ni adalah kisah yang menarik. tak ramai wanita disebut di dalam al-Quran. yang ada pun setakat gelaran sahaja, seperti hawa (cuma disebut isteri adam) zulaikha (cuma disebut perempuan aziz) asiah (disebut isteri fir'aun) balqis (cuma disebut imra'ah)

di sebalik kisah maryam ni mir, ada beberapa perkara yang menarik untuk kita renungi.
pertama: kebersihan maryam. Maryam satu-satunya wanita yang melahirkan anak, tapi masih kekal perawan. satu kemuliaan bagi Maryam a.s.

kedua: kenapa malaikat menyampaikan berita kandungan Maryam? satu hikmah yang tinggi ialah untuk menghilangkan keraguan dihati maryam jika di soal oleh kaum yahudi nanti. Memang maryam tidak pernah bersangka buruk pada Tuhannya. sebab tu masa malaikat memberitahu maryam bahawa dia telah megandung , maryam menjawab: bagaimana aku boleh mengandung sedangkan aku tidak disentuh oleh mana-mana lelaki pun.
hikmah ini adalah untuk menguatkan jiwa maryam apabila membawa pulang anak tersebut kelak.

ketiga: allah memuliakan maryam dengan menjadikan dia satu-satunya wanita yang melahirkan nabi tanpa perantaraan seorang bapa.

keempat: semua yang berlaku ke atas maryam itu adalah mudah bagi Allah. membuktikan Allah tidak memerlukan sebab musabab untuk melaksanakan sesuatu. apa yang Allah kehendaki pasti akan terjadi..

semoga ada manfaatnya untuk perjalanan abadi.. wassalam dan wallaua'lam

Amir Hamzah said...

@Kekanda: Kisah Maryam sebenarnya sarat dengan hikmah-hikmah. Cuma, kebelakangan ini, orang lebih suka untuk meninggalkan kisah-kisah seperti ini.

Al-Quran adalah bukti bahawa Islam tidak mengamalkan gander discrimination terhadap wanita. Al-Quran memang melebihkan lelaki dalam sesetengah perkara, tetapi sebenarnya melebihkan perempuan dalam perkara-perkara yang lain (semak surah An-Nisa'). Bagi amir, Maryam adalah manifestasi kepada ketinggian ketaatan kepada Allah dan menunjukkan uniknya wanita dalam menghadapi ujian bersama-sama dengan 3 orang wanita lain yang diakui oleh Rasulullah sebagai Wanita Tauladan Sepanjang Zaman (Khadijah, Asiah Isteri Firaun dan Fatimah binti Rasulullah.) /ah.

Joyah Sempoi said...

saya kalau dpt anak pompuan lagi kali ni, mmg ada plan nak letak nama Maryam tuh sbb saya suke sangat dgn namanya dan peribadi Maryam itself....

tmbahan pulak best fren sya ms blajar kat matrik st ketika dulu pun namanya Maryam...

bagus ustaz ketengahkan cerita2 sebegini yg semakin dipinggirkan...malah ada diantara kita yg tak tau pun/tak nak ambik tau...paparan kat blog ni sekurang2nya dpt mengetuk pintu minda dan hati para sahabat utk singgah membacanya wpun seperenggan..apepun, teruskan perjuangan sebegini ustaz...

ustazshafiee said...

kalau dilihat dalam tafsir qurtubi, maryam a.s dilabelkan sebagai nabiyyah. katanya ada beberapa orang perempuan yang mencapai darjat nabiyyah. antaranya ialah maryam a.s sendiri. antara dalilnya ialah Maryam menerima wahyu dari Allah. tapi, pangkat mariam hanya setakat Nabiyyah sahaja, bukannya rasul. (ni cuma pendapat.. rasanya sesuai ditulis di sini)

semoga boleh baca buku-buku rujukan muktabar untuk mengelakkan kekeliruan..

wallahu'alam.

Amir Hamzah said...

@Joyah: Maryam cantik namanya.

@Kekanda: Persoalan nabi ni susah jugak nak kita simpul. Allah berkuasa untuk menjadikan sesiapa pun Nabi. Yang penting kita ektrak daripada kisah mereka agar menjadi tauladan kepada kita.