Amin berlari menuju ke pintu pagar surau. Tangan ibunya disentapnya agar terlepas dan lebih cepat lariannya. Takut terlepas peristiwa yang besar dan ingin sangat dilihatnya. Seekor lembu sedang rebah menanti pisau berkilau pak imam memutuskan urat-urat dilehernya. Amin cuba mengamati mulut imam terkumat kamit... membaca doa agaknya imam itu. Didengarnya suara derauan lembu yang hanya mampu mengelip-ngelipkan kelopak matanya. Ibunya memanggil dan cuba mengalihkan pandangan daripada melihat lembu itu dikorbankan.
Bagi kanak-kanak seperti Amin, mungkin tidak tahu kenapa lembu itu dikorbankan. Dia mungkin tidak tertanya mengapa lembu itu perlu disembelih. Apa yang mungkin difikirkan adalah keseronokan melihat orang ramai berkumpul, lembu yang selama ini dilihat gagah meragut rumput, kini terpaku dikaki tali hijau dan terbaring menunggu disembelih. Lembu kemudiannya diherat dan dagingnya dilapah.
Bukan sahaja Amin yang tidak mampu memikirkan kenapa lembu itu dikorbankan. Ada sesetengah kita yang masih belum bertemu jawapan, kenapa lembu itu dikorbankan. Ada yang mengambil bahagian dalam korban untuk menunjukkan lebihan wang yang ada. Ada ahli politik yang menaja lembu-lembu untuk tujuan meraih sokongan dan memperlihatkan keperihatinan kepada ibadah korban dan untuk menunjukkan sifat cakna mereka kepada rakyat. Ada mereka yang kaya, hanya mengambil bahagian dalam korban, tapi tidak sedikitpun menjamah daging tersebut.
Inilah senario yang ada. Kadang-kadang timbul perkelahian antara pengagih daging. Ada yang tidak berpuas hati dengan agihan yang dibuat. Berebut jantung lembu misalnya atau bahagian-bahagian yang lain yang sukar untuk dibeli pada hari-hari biasa. Maka bermasamlah muka, kata mengata dan bercakap dengan kebencian. Sifat muafakat telah dilencong menjadi sifat mazmumah yang dikutuk oleh agama. Sekiranya ini terjadi, bermakna, objektif ibadah ini jauh sekali menyimpang daripada tujuan asal yang ingin dicapai pada hujung ibadah tersebut.
Ibadah korban menuntut manusia kembali kepada fitrah. Allah menjadikan haiwan sebagai satu rahmat dan kurnia yang besar. Kerana padanya manusia memperolehi faedah yang banyak. Bagi seorang petani, lembu menjadi aset penting untuk membajak sawah. Bagi penternak haiwan juga, lembu yang telah matang, boleh menjadi baka penting untuk kesuburan ladangnya. Kelebihan-kelebihan ini menjadikan manusia menjadi kikir untuk mengeluarkan lembu dan binatang yang mereka ada untuk dikorbankan demi untuk menyahut seruan korban Allah s.w.t.
Berbalik kepada peristiwa Habil dan Qabil, apabila Habil memilih kambing-kambing yang gemuk-gemuk dan sihat, sementara Qabil memilih sayur-sayuran yang cacat dan busuk untuk diletakkan diatas bukit untuk melihat korban siapa yang diterima. Apabila langit mengeluarkan apinya dan menyambar korban Habil manakala sayuran Qabil tidak disentuh sedikitpun.
Berbalik pada perspektif hari ini, lembu sudah tidak signifikan lagi untuk dilihat kekuatan sifat redha untuk memilih harta terbaik untuk dikorbankan. Tetapi lebih melihat kepada kekuatan wang tunai yang ada pada seseorang. Seiring dengan ibadah sedekah, mungkin tidak bermakna apabila seorang yang kaya raya mengorbankan lembu, tapi hanya untuk menunjukkan dirinya kaya. Tetapi amatlah bermakna korban seseorang itu, apabila duit yang ada hanyalah sedikit, tetapi tetap menyertai korban lantaran inginkan kelebihan yang ada pada ibadah tersebut. Bagi si kaya, sepatutnya korban hanyalah sebahagian kecil daripada usaha agamanya. Yang lebih besar adalah kewajipan zakat dan penyertaan dalam ibadah sedekah, yang akhirnya, membawa kepada keabdian kepada Allah, lantaran harta yang diberikan hanyalah pinjaman.
Akhirnya, dapatlah kita simpulkan, sesungguhnya, apa yang paling mulia di sisi Allah s.w.t, adalah taqwa iaitu ketakutan kepada azab Allah dan rasa pengabdian kepadaNya. Kayakah dia, miskinkah dia, semuanya sama, yang beza hanyalah cara untuk menunjukkan ketaatan tersebut, lantaran perbezaan harta disampingnya. - ah.
Friday, November 27, 2009
Benarkah kita berkorban?
Labels: Ibadah
Posted by Amir Hamzah at 3:16:00 PM 2 comments Links to this post
Tuesday, July 7, 2009
Taklim: Seorang Pengemis Membawa Cetong
Berikut adalah catatan sesi taklim dengan kekanda saya untuk dikongsi dengan rakan-rakan semua. Sedarlah saya bahawa semua kita ini adalah fakir, walaupun orang kaya. Patutlah juga seorang wali Allah s.w.t. akan menghina diri dia di hadapan Allah s.w.t. Padahal tidak ada orang biasa yang setanding dengannya. Amal ibadatnya. Ikhlasnya... Tidak pernah berasa tinggi dan hebat di hadapan Allah. Takut akan ujian lantaran besar diri yang terucap di bibir mereka. Renungkanlah...
me: salam.
ustaz: waalaikumussalam
Sent at 11:55 AM on Tuesday
me: ada taklim hari ni?
ustaz: pasal cetong la
me: hehe
dok menarik
ustaz: dok meanrik ke?
seorang pengemis membawa cetong
me: bagi tajuk lain sikit
ustaz: tu la tajuk dia
ayat quran dia
anta fuqaraa'u ilallah
me: baru best tajuk tuh
ustaz: tu ah tajuk dia.. cetong pengemis
me: ok la
ustaz: seorang pengemis yang berbangga dengan cetong dia.. logik ke?
me: hehe... cetong emas
ustaz: tuhan letak kekayaan dalam cetong dia, pastu dia berbangga
kan dok kena tuh
me: betul2... tak logik...
ustaz: sampai mati pun kita akan bawak cetong tuh
dalam kubur pun bawak cetong
alam barzakh pun bawak cetong
me: hebat pemikiran nih...
ustaz: minta tuhan isi dengan kebaikan..
tu lah
nak cerita kata dok best
selepas tadabbur ayat tuh
dapat la dengan izin allah
me: hebat2
teruskan
ustaz: tadi kata dok best
me: best2
saja je tadi
uji tok guru
ustaz: kita kena jaga molek2 hati tuan kita
me: ...
ustaz: kan tekgi dia tak mboh letak kan kekkayaan dalam cetong.. susah
hok dia suruh, kita buat
hok dia sayang, kita sayang
baru moek
molek
dok gitu?
me: betul...
kita kene jaga hati tuan kita....
ustaz: tuhan suruh sayang nabi
kita sayang dok nabi?
fattabi'uni yuhbibkumullah
Sent at 12:06 PM on Tuesday
me: kene sayang la...
mcm mana nak connect sayang nabi dengan cetong ni
?
ustaz: allah sayang org yang sayang hok dia sayang
gini..
ada org buat baik dengan kasyful.. bagi coklat.. amir suka dok?
me: suka
ooo
ustaz: kena kena ikut betul kata tuhan
in kuntum tuhibbullah
fattabi'uni yuhbibkumullah
abang faham.. kena sayang ke nabi
kena hidup kasih kita ke nabi
me: ok
ustaz: dalam hati
me: paham doh sikit
ustaz: biar bergetar hati kita dengan cinta ke dia
allah sayang tekgi
bila allah sayang
me: ...
ustaz: macam2 lah boleh
me: buleh celah?
ustaz: tadah je cetong
tuhan letak la ke kita mende2 pun
buleh
me: apa pulak connection cetong kita nge quran...
ustaz: la..
quran kan kalam tuahan kita
kalam tuhan..
kena ambik panduan dari quran..
me: jangan maroh tok guru.. hehe
ustaz: dalam quran suruh sayang nabi
kena sayang nabi
sbg syarat nak dapat kasih sayang allah
sayang nabi pulak, kena ikut nabi..
baru allah sayang
bila allah sayang.. tadah la cetong tuh
dapat la..
insyaAllah
me: hebat pemikiran ni
taklim ni bagus...
me: tak pernah terfikir
ustaz: banyakkan tadabbur quran
banyak rahsia
me: "khali zihni"
ustaz: kita kena faham bebetul.. masa sembahyang kita bawak cetong tuh
kalau kita imam.. kita lah ketua pembawa cetong
ya allah.. rahmatilah kami
merintih macam pengemis betul tuh
sembahyang kita akan menjadi lain
betul2 rasa mengharap kepada allah
ingat.. cetong tuh..
me: betul la... walaupun kita pakai mewah masa semayang... kot, neck tie... slack ralph lauren... tapi kita bawak cetong sahaja
ustaz: betul tu.. pakaian kita tu adalah hasil dari pemberian allah dalam cetong sebelum nih
asalnya tetap cetong
me: bagus la...
kalu kita dah ada famili, kita bayang kita, isteri nge anak duk mengemis..
kalu tuhan nge nabi sayang, selalu la kita dapat kebaikan dalam cetong kita
ustaz: gitu ah
mende pun allah bagi, kena redha..
macam pengemis la..
duk tepi jalan..
org bagi berapa pun, ambik je la
me: betulla
pengemis lain pun buleh beri jugok ke kita
ustaz: ingat cetong tu jaga sokmo
me: kalu cetong hilang?
ustaz: jangan sombong dengan cetong
cetong tu dok hilang..
tapi ada org dia buat2 ilang
me: kene tadoh nge tapok tangan...
ustaz: macam fira'un
me: dia sembunyi la cetong tu kiranya?
ustaz: dia susuk bawah neck tie ke
dalam kot ke
bila susah tekgi.. dia buat keluar la slow2
berlagak kaye
dok sedar ada cetong tangan
kita ni, bila tengok orang, kita sedar semua org ada cetong
bila tengok org dok sedar diri.. kita geleng kepala.. erm.. dok sedar lagi la tuh
Sent at 12:27 PM on Tuesday
me:
betulla
kita ni semua orang fakir kepada Allah...
ustaz: gitu ah mir
me: bagus la
terima kasih atas taklim hari ni...
Labels: Taklim Online
Posted by Amir Hamzah at 10:43:00 AM 7 comments Links to this post
Monday, June 29, 2009
Muhammad: Namamu Teragung
Oleh Mohd Amiruddin bin Hamzah
Kesempatan yang singkat, terfikir sejenak kepada satu ayat Allah, dalam satu surah pendek yang seringkali juga dibaca. Sebelum saya ungkapkan ayat suci itu, suka untuk terus menyebut nama ini. Muhammad. Syukur juga kerana nama ini wujud dipermulaan nama saya. InsyaAllah, pada akhirat nanti, saya akan cuba berbangga apabila nama saya dipanggil oleh malaikat. Apa tidaknya, nama yang dipanggil adalah nama seorang yang amat besar di padang mahsyar nanti. Muhammad. Kekasih Allah, tuan empunya padang mahsyar, pemegang anak kunci syurga.
Firman Allah s.w.t:

"Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu(dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?" - Al-Insyirah 4
Ayat ini secara jelas menjulang tinggi Nabi Muhammad sebagai seorang yang bukan sahaja tinggi nilai pekertinya, malah perkataan namanya sendiri dijulang Allah sepanjang zaman. Lihat saja nama nabi dihubungkan dengan Allah dalam syahadah. Tidak lengkap syahadah tanpa mengakui Nabi muhammad sebagai rasul dan pesuruhnya. Walaupun Nabi-nabi lain sebelum Rasullullah diberikan kemuliaan seperti Nabi Ibrahim menjadi khalil (kekasih), Nabi Musa dapat bercakap (kaliiman) dengan Allah, Nabi Daud dijinakkan kepadanya bukit dan besi, Nabi Sulaiman ditundukkan kepadanya angin dan syaitan (jin), Nabi Isa diizinkan menghidupkan orang mati. Tetapi, bagi Rasulullah, kemuliannya lebih tinggi dari itu apabila namanya dijulang dan diletakkan bersekali dengan nama Allah dalam hati dan sanubari umatnya. Sehingga seorang umatnya membaca al-Quran tidak akan dapat dipisahkan ingatan kepada Allah dan Rasulnya.
Lebih unik lagi, nama nabi bukanlah asing kepada nabi-nabi sebelumnya. Kerana, perkhabaran mengenai kedatangan seorang nabi yang ditunggu-tunggu telah pun diketahui oleh para nabi sebelumnya. Dalam al-Quran sendiri, telah secara jelas merakam percakapan Nabi Isa a.s iaitu melalui firman Allah: Ketika berkata

Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!" - Saff, Ayat 6.
Nabi Isa bukanlah hanya seorang nabi yang berkata-kata mengenai Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Musa juga diberitakan menyebut tentang seorang nabi yang ditunggu-tunggu yang akan menyempurnakan wahyu tuhan kepada Manusia, iaitu yang diutus keseluruh alam. Berbeza dengan rasul lain yang hanya diutus kepada kaum-kaum tertentu sahaja. Perkara ini pernah dibangkitkan oleh arwah Ahmad Deedat yang menulis pengkajiannya "Muhammad Ini bible". Apabila Nabi Musa menyebut mengenai seorang rasul yang akan bangkit daripada saudara kamu (orang yahudi) dan nabi musa maka Ahmad deedat menyimpulkan dua kriteria yang terkandung dalam ayat bible tersebut iaitu "saudara" dan "sepertinya". (Transkrip dialog ahmad deedat boleh didapati di sini atau di youtube.)
Kenapa barat menyerang peribadi Rasulullah s.a.w?
Pembacaan penulis diteruskan lagi melalui beberapa laman-laman artikel yang memaparkan perdebatan antara agama. Dari keseluruhan yang dibaca, penulis dapat menyimpulkan bahawa kebanyakan kecenderungan pendokong agama kristian untuk menyerang nabi melalui konseptual yang mereka rumuskan berdasarkan pembacaan mereka terhadap teks-teks terjemahan kebahasa mereka dan juga pemikiran logik mereka. Sebagai contoh penulis David Wood, dalam laman beliau answering-islam.org menukilkan beberapa artikel yang sangat juridistik mendakwa kesongsangan Nabi Muhammad sendiri. Beberapa karya orientalis juga yang pernah dibaca oleh penulis juga berbentuk sedemikian, iaitu menyerang secara khusus terhadap Rasulullah s.a.w. Dakwaan seperti Nabi Muhammad s.a.w seorang yang "pembohong", "lemah dalam pemikiran beliau", menggunakan skriptual taurat dan injil untuk membentuk al-Quran dan sebagainya. Wa 'iya zubillah.
Tindakan menyerang peribadi seorang Rasulullah s.a.w yang diterima oleh berbillion-billion manusia adalah amat janggal. Manusia diberi akal yang sempurna seperti juga para orientalis itu. Masakan manusia berbillion-billoin ini boleh tertipu sekiranya peribadi Nabi itu sangat songsang. Tidak ada satu perkataan pun daripada Nabi s.a.w. yang menyongsangkan masyarakat. Carilah sepotong ayat al-Quran dan mana-mana hadith yangm enyerang peribadi rasul-rasul utusan Allah sama ada kepada kaum Israel atau mana-mana kaum lain. Bahkan, Al-Quran mengiktiraf semua rasul dan memperbetulkan fitnah yang dibuat oleh kitab-kitab tertentu terhadap para nabi.
Nabi Nuh dan Lut misalnya, ditulis sebagai peminum arak dan berzina dengan anak mereka sendiri. Sengguh jelek tulisan seperti ini boleh ditulis dalam sebuah kitab suci. Justeru, Al-Quran datang dengan membersihkan segala kotoran ini dan mengiktiraf rasul-rasul sebagai seorang yang benar, beriman dan tidak melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. Bahkan, Islam mengiktiraf 124000 nabi dan daripada jumlah ini 313 adalah rasul. Kemurnian agama adalah apabila agama itu menjaga kehormatan para rasul dan bahkan mereka yang dicela dalam Al-Quran seperti Namrud, Fir'aun, Haman, Abu Lahab, golongan munafiqin dicela dengan cara yang berhemah dan mendalam.
Muhammad dalam Skripture Agama Lain
Kemuliaan Muhamamd dalam sebagai rasul yang dijanjikan pada akhir zaman, yang membawa kepada penyatuan umat manusia. Belum ada lagi satu agama pun yang menyatukan dan mensama ratakan semua kaum dalam kehidupan. Sedang agama-agama yang ada pada waktu itu membawa kepada perbezaan darjat dalam masyarakat, pengiktirafan kepada golongan bangsawan dan berada dan sebagainya. Islam datang dalam keadaan ganjil iaitu mengajak manusia menyembah sesuatu yang tidak dilihat mata, dan berimankan kepada seuatu yang hanya boleh disentuh dengan akal dan iman.
Signal kedatangan Rasulullah s.a.w telah diungkapkan dalam banyak kitab-kitab suci selepas pengkajian terhadap mereka dibuat. Kitab torah misalnya, veda dan kitab-kitab agama buddha, semuanya dipercayai menukilkan nama Nabi Muhammad s.a.w. Adalah dipercaya, Muhammad merupakan nama pertama yang wujud kepada manusia. Masalah yang timbul adalah, kebanyakan kitab-kitab suci tersebut ditulis dalam bahasa asal yang diterjemahkan. Perkataan Muhammad disebut hanya dalam bahasa yang bukan asal (arab) tetapi bahasa bangsa masing-masing. Mungkin kalau ada kitab bagi kaum Melayu, pengkisahan yang nabi muhammad sebelum kedatangan Nabi agung ini, ditulis sebagai "Yang Terpuji" dan bukan menggunakan perkataan "Muhammad".
Penutup
Penulis kesal apabila membaca tulisan-tulisan orientalis barat yang negatif tentang rasulullah s.a.w. Tidak ada satu pun perkataan para Pendakwah islam yang mencela mana-mana daripada 55 Rasul orang yahudi. Bahkan Al-Quran mengiktiraf mereka. Al-Quran menempelak sikap mereka kerana mempermainkan dan membunuh Nabi-nabi mereka selepas nabi-nabi mereka menegur perbuatan mereka. Ada dipotong kepala, digergaji tengkoraknya, dan ada yang pijak perutnya sampai terburai. Kemudian, mereka berdoa lagi agar diturunkan Rasul untuk menjadi pembela mereka. Penulis teringat tentang pengkisahan apabila Nabi Muhammad s.a.w melihat anaknya, Fatimah menangis kerana melihat Rasulullah sedang sakaratul maut. Nabi mengungkapkan, "janganlah engkau menangis anakku, kerana tiada lagi kesengsaraan buat ayahmu selepas ini.". Nama Rasulullah amatlah agung, yang menggetarkan pendengarnya dengna kewibawaannya. Bersyukurlah penulis memiliki sepotong nama yang agung ini, dan mengharapkan penulis mengikut jejak langkah manusia agung ini, untuk memberi salam kepadanya di syurga nanti. InsyaAllah... amin. /ah.
Labels: Tokoh
Posted by Amir Hamzah at 7:10:00 PM 0 comments Links to this post
Monday, June 22, 2009
Hakikat Perkahwinan: Manis dan Pahit Kehidupan Satu Rahmat Mengenal Tuhan
Oleh Mohd Amiruddin Hamzah
Bermula penciptaan Manuia Adam dan Manusia Hawa. Bermulalah kisah sejarah pengkhalifahan manusia yang tidak lagi padam sehingga kini. Allah dengan rahmat dan kasihNya memenuhi tuntutan jiwa manusia agar segala kelebihan yang Allah berikan menjadi jambatan ke arah keredhaanNya. Manusia itu adalah ruh yang disaluti oleh jasad tanah hidup yang menjadi darah daging mereka. Diselaputi juga nafsu yang asal kejadiannya buas. Ditundukkan nafsu dengan iman yang menjadi kunci kehidupan. Dikurniakan perasaan cinta dan kasih sayang (mawaddah) antara lelaki dan perempuan, sanak saudara dan lebih penting, kasih sayang kepada maha pencipta.
Rumahtangga sebenarnya satu rahmat kepada Manusia. Rumahtangga memberi jalan kepada manusia untuk menyalurkan nafsu dan hawa dirinya ke landasan yang diiktiraf oleh syariat Allah s.w.t. Perkahwinan membawa kepada perkongsian hidup, memelihara darah dan keturunan agar turun menjalar membelah masa dengan penuh kebanggaan dan kemuliaan. Perkahwinan bukan sahaja mendekatkan dua keluarga, tetapi berpuluh-puluh keluarga dan tidak lain adalah untuk berkenal-kenalan antara satu sama yang lain. Begitulah besarnya perkahwinan ini disisi syara' dan di sisi kehidupan manusia.
Penulis pernah teringat ketika mempelajari ilmu perkahwinan ini, Ustaz ada membuat perbandingan "isteri itu umpama sebuah rumah sewa." Ustaz ini tidak memanjangkan eleborasinya mengenai pendapatnya itu. Apabila penulis melihat, mengamati, memang benar, isteri itu bukanlah seperti rumah sewa tetapi menyamai konsep sebuah rumah sewa. Kita ambil contoh, apabila kita menyewa sesebuah rumah kita pasti diikat dengan satu ikatan kontrak. Kontrak itu adalah pernikahan. Dalam kontrak ini kita akan berjanji untuk membayar jumlah tertentu kepada tuannya, tuan itu adalah perempuan yang kita nikahi sedang bayaran itu adalah nafkah kepadanya. Kita bertanggungjawab terhadap segala sesuatu terhadap rumah itu, peraturan-peraturan dan keselamatannya. Tetapi kita tidak boleh sewenang-wenangnya merosakkannya. Bilik air dijaga bersih, dapurnya serta fungsinya berjalan seperti baru. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membetulkan kerosakan rumah itu kecuali dibenarkan pemiliknya. Melubangkan sesuka hati kita dilarang. Yang paling penting, rumah itu bukan milik kita, ia kekal milik tuannya. Selagi mana kita menjaganya dengan baik, selagi itulah tuan kita akan memberikan kita kekal menyewanya, jika sebaliknya, boleh sahaja kita ditawar pergi.
Analogi ini, mungkin kita lihat dari luarannya agak rapuh. Namun membawa satu konsep yang cukup kuat bahawa perkahwinan ini bukanlah satu hakikat bahawa kita memiliki seseorang perempuan. Tetapi kita diamanahkan menjaganya. Tidaklah boleh kita memperlakukan dia sewenang-wenangnya kerana kita tidak memilikinya. Perumpamaan ini juga memberi kekuatan kepada kaum wanita bahawa mereka itu berharga dan lelakilah sebanarnya menumpang kasih sayang daripadanya. Kerana setiap satunya saling memerlukan, menjadikan hakikat perkahwinan sebagai satu perkongsian hidup.
Islam menggariskan bahawa perkahwinan yang sah adalah satu kunci kepada kesempurnaan agama. Ada hadith yang menyebut, perkahwinan itu menyempurnakan sebahagian daripada agama dan hendaklah lelaki itu menyempurnakan sebahagian yang lain. Melihat pada peri pentingnya perkahwinan ini dijaga dan dibajai, haruslah kita berdoa agar perkahwinan kita akan cerah berpanjangan tidak mendung, kilat atau ribut ditengah hari atau penghujung senjanya.
Ada orang diberikan tuhan jodoh di dunia sebelum matinya. Ada yang tidak ditakdirkan jodoh kepadanya sehngga matinya. Ada yang sukar bertemu jodoh dan akhirnya hanya bernikah seorang janda atau duda. Ada yang menduda setelah kamtian isterinya. Ada yang gelap kebahagiannya apabila dikhianati oleh isteri atau suaminya. Bermacam-macam lagi keadaan yang ada. Namun begitu, ingatlah bahawa semua itu adalah ketentuan Allah dan sebenarnya dinatijahkan daripada pilihan dan jalan yang kita pilih. Justeru, tidak lah wajar menyalahkan takdir kenapa dan kenapa, kerana kita memilih dan membenarkannya. Semua ini hanyalah ujian. Hakikatnya, kita tidak bersatu selamanya walaupun bahagia kehujungnya hayat kita. Pasti juga bercerai pada hujung kematian kita.
Benarlah analogi pertama iaitu konsep menyewa sahaja. Setiap seorang dipertanggungjawabkan bagi dirinya dan amanah di pikulnya. Tidak seperti dunia, kita akan membela isteri dan anak-anak demi untuk sesuap nasi. Bersama-sama. Tetapi di akhirat, kita membela diri sendiri dengan iman dan amal sendiri. Suami mendapat rahmat apabila isteri dan anak-anak dibimbing secara qurani. Isteri mendapat rahmat apabila maruah suami dijagai dan rumah tangga dijaga demi keredhaan suaminya. Hanya dengan rahmat tuhan untuk menemukan kita disyurga, itupun kalaulah ada redha tuhan untuk kita mengetuk pintu syurga. Sebaliknya? Berseoranganlah ke neraka menghabiskan sisa-sisa kehidupan yang tidak akan luput selama-lamanya.
Perkahwinan adalah satu rahmat. Menjadi medan untuk membantu kita melalui hisab yang lebih ringan dan cepat. Satu keluarga yang didasari atas iman dan amal, menjauhkan diri daripada kemewahan yang mengundang bencana, pastinya menjalankan bahteranya dengan aman dan damai walaupun di lautan bergelora. Keluarga yang baik bukanlah keluarga yang kaya, berharta, banyak bilangannya, cantik darah keturunannya, tinggi darjatnya. Itu hanyalah retorik dunia yang akhirnya tidak membawa apa. Tetapi keluarga yang baik adalah didasari dengan dasar takwa, seimbang iman antara suami, isteri dan anak-anak, pendidikan anak-anak yang bertunjangkan tauhid dan akhlak. Biarlah perut hanya berisi ketulan nasi sejuk semalam. Tetapi pada waktunya beribadat dan bersolat bersama-sama keluarga. Tanpa seorangpun tercicir. Biarlah hanya beratapkan beberapa helaian besi panas, tetapi siangnya dipenuhi dengan usaha membesarkan dan mendidik dengan penuh ilmu keimanan dan ilmu dunia.
Kalau kita tersenyum puas dengan anak yang Allah berikan kepada kita, kenanglah kepada mereka yang telah bertahun kahwin tidak dikurniakan anak. Kalau kita tersenyum puas melihat anak kita 'galak' berlari apabila mendapat kaki, kenanglah ibu bapa yang mendapat anak istimewa, yang hanya terlantar dihujung tilam menghabiskan umurnya. Kalau kita tersenyum melihat anak-anak ramai, kenanglah bagaimana ibubapa ditinggalkan anak-anak diwaktu tuanya walaupun anak mereka ramai dan berkedudukan. Sebagai mana senyumnya kita, ingatlah pada mereka yang tidak memiliki apa yang kita ada. Barulah akhirnya, kita menjadi hamba bersyukur lantaran keluarga yang bahagia, ditunjangi dengan iman dibaniri dengan tauhid. Jadilah keluarga kita ibarat pohon kuini yang manis buahnya, tidak buruk dan berulat isinya dan dikenang orang apabila habis riwayatnya. /ah.
Labels: Falsafah
Posted by Amir Hamzah at 8:08:00 PM 2 comments Links to this post
Friday, June 5, 2009
Betulkah kamu faham?, "Hidup ini permainan!"
Oleh Mohd Amiruddin Bin Hamzah
Manusia dipilih menjadi khalifah membatasi peluang makhluk lain seperti Jin dan Haiwan. Sehinggalah Iblis enggan mengiktiraf manusia akibat daripada kesombongan dirinya bahawa dia dan bangsanya lah yang mempunyai hak untuk memakmurkan dunia. Memikirkan dirinya elit, lantaran ibadat yang dilakukannya dan keistimewaannya mengetuai mahkluk cahaya yang lain bangsa daripada dirinya dan bukannya makhluk tanah yang dicipta daripada lumpur dan air yang hina. Kebanggaan manusia diciptakan menjadi khalifah kemudiannya dicela dengan satu bentuk kenyataan bahawa manusia adalah terdiri daripada orang yang tidak tahu (jahil) kerana memikul amanah yang tidak sanggup dipikul oleh makhluk lain termasuklah haiwan dan tumbuhan. Haiwan dan tumbuhan mungkin tahu kesenangan apabila menjadi khalifah, tapi mereka tahu akan tanggungjawab bahawa amanah itu akan diaudit balik di hari kemudian. "Exit conference"nya hanyalah dua iaitu Syurga dan Neraka.
Manusia selepas turun kebumi mencipta tamadun. Ada sebahagiannya kekal sehingga hari kini. Diberikan kekuatan kepada manusia untuk memakmurkan dunia melalui politik dan sosialnya. Maka berjalanlah amanah yang dipikul oleh manusia yang diwarisi sejak nabi Adam a.s. Perjalanan ini kemudiannya membibitkan penyakit-penyakit yang terbit daripada virus nafsu yang kemudiannya menjadi mutan sehingga kekal sampai ke hari ini. Lihat sahaja perjalanan kaum yang Nabi Lut diutuskan kepadanya. Virus syahwat sejenis itu kemudiannya berjalan dan mutan sehingga ke hari ini. Maka lahirlah satu masyarakat yang menamakan diri mereka "gay" dan "lesbian" yang mengamalkan seks sejenis yang maha jijik ini. Lihat pula bagaimana agama yang pada asalnya dibawa oleh Nabi Adam a.s iaitu Islam, ditokok tambah oleh manusia lantaran sifat kekauman yang tinggi di antara mereka dan sombong mengatakan agama kaumnya betul walaupun mereka menyembah batu. Jadilah agama yang berkecamuk hari ini yang membawa kepada kesesatan yang jelas.
Ihsan sebagai tonggok amal
Manusia dibekalkan bukan sahaja dengan keupayaan untuk berfikir, tetapi beberapa urat yang menyambungkan pemikiran itu dengan otot-otot yang membolehkan menggerakkan tangan dan kakinya sama ada memikul cangkul atau ke bendang. Otot ini juga digunakan sebagai otot untuk mengerjakan ibadah apabila manusia menghantar signal dari hati ke akal dan ke tangannya untuk mengangkat takbir ratul ihram. Otot dan saraf ini juga bergerak dari akal ke nafsu tanpa melalui iman di hati apabila signal dihantar melalui saraf ke otot-otot zakarnya untuk melakukan zina. Otot-otot ini juga disalurkan kepada tangannya untuk menadah beberapa keping duit syiling yang diperoleh daripada anjing perasuah. Lihatlah betapa fleksibelnya komponen-komponen utama manusia ini, otot, akal dan hati.
Berbeza dengan haiwan, memiliki perkara yang sama, tetapi fleksibelitinya amatlah kurang. Yang ada hanyalah rutin hidup yang biasa iaitu bangun pagi, mencari makan, mencari yang betina atau jantan untuk mengawan, mencari tempat untuk bersalin kemudinnya mati. Tanpa satu pun penderhakaan kepada Allah, mereka tetap dalam rutin yang sama. Begitu juga dengan tumbuhan. Berbuah dan berdaun, mengikut musim. Sedang manusia mempunyai rutin yang sama, tetapi dicampur dengan tokok tambahnya untuk membuat kehidupan mereka lebih bermakna.
Ihsan dan Itqan Berpihak kepada Rohani
Itqan (atau tekun) dan Ihsan merupakan dua kunci rohani yang diciptakan tuhan untuk menjadikan perisai manusia menghadapi Iblis dan kuncu-kuncunya. Tidakkah kita teringat apabila terjadinya peristiwa iblis enggan memberi sembah hormat kepada manusia Adam, Iblis bersumpah mahu menyesatkan semua keturunan Adam, kecuali mereka yang ikhlas sahaja. Dan ihsan dan itqan ini secara jelas disebut sebagai satu timbangtara yang penting menentukan keikhlasan seseorang. Sebagaimana ihsan dan itqan itu tidak boleh dilihat, begitulah juga ikhlas. Kedua-dua konsep ini disebut oleh Rasulullah s.a.w dalam sabda Baginda. Ihsan bermaksud kamu melakukan sesuatu ibadah seolah-olah kamu melihat Allah s.w.t. Walaupun kamu tidak melihatnya tetapi Allah s.w.t melihat kamu. (Hadith Bukhari). Oleh kerana pengibadatan kita pada Allah merangkumi ibadah khusus dan ibadah umum, maka konsep ini terpakai secara keseluruhan di dalam kehidupan kita.
Seorang yang berkerja, melakukan kerjanya dengan penuh ihsan. Buruh yang mengikat batu-bata yang menjadi tiang misalnya, tetap melakukan yang terbaik dalam kerjanya walaupun pada waktu itu mandurnya tidak ada. Walaupun buruh itu boleh membuat selaput luar yang tidak mungkin dapat di kesan oleh mandurnya yang ikatannya tidak sempurna. Ini kerana, buruh itu mengetahui konsep ihsan ini, bahawa biarpun orang lain tidak melihatnya, tetapi Allah s.w.t mengetahuinya. Sekiranya kita hanya mengikat konsep ihsan dalam penemuaan khusu' dalam sembahyang semata-mata, atau ibadat lain seperti zakat dan puasa, sesungguhnya kita telah merobek separuh daripada perisai kita yang digunakan untuk menangkis lembingan hasut-menghasut makhluk iblis dan syaitan.
Sementara itqan atau tekun dalam versi Melayunya, meletakkan pekerjaan seseorang yang ihsan menjadi lebih baik dan sempurna. Tekun akan menjadikan sesuatu pekerjaan itu sampai ke penghujungnya melalui jalan yang sebenarnya. Kerana tekun dan dicampuri ihsan, jadilah satu bangunan yang diikat batu batanya mengikut spesifikasi buku. Oleh kerana tidak ada ihsan dan jauh pula dengan ketekunannya, teruslah batu-bataitu diikat tanpa mengikut ukurannya dan lambat pula lah siapnya. Tekunlah membuatkan sesuatu kerja sempurna dan kesempurnaan itulah menjadi kunci keredhaan Allah s.w.t, kerana Allah amat menyukai orang yang tekun dalam pekerjaannya.
Akal dan Hati
Akal biasanya ditunjukkan kepada kepala sementara hati ditujukan di dada. Hati dan otak adalah dua ketul daging yang dimiliki oleh makhluk seperti manusia dan haiwan. Namun yang dimaksudkan dengan hati di sini adalah hati yang berbentuk ruhaniyyah, begitu juga dengan akal iaitu susuatu yang berbentuk ruhaniyyah. Mudah sahaja analoginya. Seekor singa tidak ada hatinya (dibaca perasaan) apabila membaham seekor anak rusa. Tetapi manusia ada hatinya apabila tidak mahu anaknya didedah kepada kegelapan malam dan kenduri nyamuk coklat. Sedang akal pula adalah bagaimana manusia boleh memikirkan jalan untuk memperbaik dan memperindah sesuatu, tetapi tidak pada binatang yang hanya mengikut haluan rutin yang mereka warisi daripada ibu-bapak mereka.
Labels: Falsafah
Posted by Amir Hamzah at 2:43:00 PM 4 comments Links to this post
Tuesday, May 19, 2009
Merindui Semangat Muhammad Al-Fatih
Oleh Mohd Amiruddin Bin Hamzah
(Merindui semangat Muhammad Al-Fatih dan tenteranya yang menakluk kubu kuat kristian di timur dan barat, kota konstantinople pada 29 Mei 1453, iaitu hampir 555 tahun yang lalu.)
Jurnal ini sekali lagi menjengah ke arena tokoh. Berputar juga benak penulis memilih tokoh yang ingin ditulis pengkisahan dan kehebatan riwayatnya. Ini kerana terlalu banyak tokoh yang berlegar "slide"nya dalam pemikiran penulis. Akhirnya, penulis tekad untuk menulis mengenai tokoh pahlawan Islam yang sifatnya meniti di bibir Rasulullah s.a.w walaupun kehadirannya adalah dalam beberapa abad selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Tokoh yang dimaksudkan adalah Sultan Muhammad bin Murad II al-Fatih (Mehmet II), sultan Kerajaan Uthmaniyyah, Turki atau beliau lebih agong dikenali sebagai Muhammad Al-Fatih, pembuka kota Constantinople.
Riwayat Hidup
Beliau dilahirkan pada 27 Rejab 835 H bersamaan 30 Mac 1432 M. Beliau dibesarkan dalam persekitaran kerajaan yang stabil hasil dedikasi pemerintahan ayahanda beliau, Sultan Murad II, iaitu sultan ke 7 dalam legasi kerajaan Uthmaniyyah Turki. Dari kecil beliau di asuh mengenai hal ehwal pentadbiran negara dan minat beliau dipupuk dengna halus dan teliti oleh bapanya. Beliau juga diberi penerapan nilai-nilai Islam melalui pengajian agama yang menjadi asas penting dalam pembentukan minda dan pemikiran beliau. Beliau diasuh dengan ilmu al-Quran dan Hadith dan dibesarkan dalam persekitaran sederhana dan jauh daripada kemewahan yang melampau-lampau. Hanya kemewahan yang dialami oleh beliau ada kemewahan ilmu di mana bapanya menyediakan kepadanya beberapa guru sufi yang mengajar kepadanya ilmu berkenaan dengan gaya hidup zuhud dan islamiyyah. Penggarapan ilmu Al-Quran, Hadith dah sufiyyah menjadikan beliau seorang yang amat lemah lembut tetapi amat menggerunkan apabila memacu pasukan tenteranya mengalahkan musuh Islam. Antara keistimewaan yang lain yang ada pada dirinya adalah penguasaan bahasa-bahasa penting pada waktu itu seperti Bahasa Arab, Farsi, Latin dan Greek pada usia awal 21 tahun. Beliau juga mempunyai kemahiran dalam bidang matematik, astronomi dan perundangan Islam. Ciri-ciri kehebatan yang ada pada beliau wujud sejak kecil dan makin mekar apabila beliau mencapai umur remaja dan matang.
Hadith Rasulullah s.a.w
Telah diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda "Kamu (umat Islam) akan membuka kota konstantinople. Komander (amir) itu adalah sebaik-baik komander islam dan askarnya adalah sebaik-baik askar. Berlumba-lumbalah panglima perang untuk menyahut hadith ini dan mahukan kedudukan seperti yang Rasulullah s.a.w utarakan dalam hadith baginda. Bermula daripad Muawiyyah bin Abu Sufian sehinggalah ketua-ketua angkatan perang zaman Turki berusaha menawan kota kristian ini, namun gagal. Termasuklah seorang sahabat yang bernama Abu Ayyub al-Ansari.
Diceritakan apabila Muhammad Al-Fatih telah berjaya menawan kota ini, baginda mengarahkan tenteranya mencari kuburan Abu Ayyub Al-Ansari. Setelah dijumpai, kuburan itu digali untuk dimakamkan semula setaraf dengan kedudukannya sebagai Sahabat Rasulullah s.a.w. Ketika tenteranya menemui kaki sahabat itu yang masih lagi terpelihara seperti manusia hidup, para tentera mencium kaki sahabat itu. tetapi apabila akhirnya tiba giliran Sultan, kaki itu bergerak seolah-oleh enggan membenarkan kakinya dicium oleh sultan. Sedihlah sultan atas keadaan itu, tetapi ditenangkan oleh ulama pengiringnya yang merupakan gurunya. Diriwayatkan bahawa sultan bermimpi abu Ayyub menziarahinya dan memberitahu bahawa beliau malu kerana beliau bukanlah orang yang dimaksudkan oleh nabi s.a.w dan enggan kakinya dicium oleh orang yang dimaksudkan oleh nabi sebagai seorang ketua (amir) terbaik dan memiliki tentera yang terbaik.
Analisa terhadap faktor-faktor luaran atau dalaman kejayaan Muhammad al-Fatih
Apabila Rasulullah s.a.w mengungkapkan hadith mengenai penakluk agong kota konstantinople ini, adalah difahami bahawa kemenangan itu bukanlah kemenangan biasa. Kemenangan itu ada kemenangan yang difaktori oleh kekuatan dalaman dan luaran serta kelemahan musuh apabila berhadapan dengan tentera Islam yang sejati. Apabila Muhammad al-Fatih mengemudi tenteranya, beliau menggerakkan mereka bukan sahaja atas dasar kenegaraan semata-mata, tetapi ditunjangi dengan kecintaan kepada Islam. Terbuktilah kata-kata Allah s.w.t dalam al-Quran bahawa kemenangan dalam peperangan kepada musuh Allah amat bergantung kepada bantuan daripadanya.
Pengaruh Hadith Rasulullah s.a.w yang Kuat
Daripada zaman Rasulullah s.a.w sehinggalah Muhammad Al-Fatih, para sahabat dan kaum muslimin berlumba-lumba untuk membuka kota ini termasuklah zaman Umayyah. Hadith Rasulullah s.a.w mengenai kota ini dan kesungguhan tentera Islam menggambarkan betapa kuatnya ruh hadith menusuk masuk ke jiwa penganutnya. Begitulah ceritanya apabila baginda tersenyum pada satu ketika lalu disapa sahabat. Lalu baginda bersabda bahawa baginda hairan bagaimana umatnya yang datang selepas baginda tanpa melihat dan mengenali baginda, tetap beriman kepada baginda. Itulah yang dimaksudkan oleh Allah "Kami meninggikan namamu dalam sebutan - Surah Al-Insyirah 4".
Selama 8 abad, para Muslim berusaha untuk menembusi tembok kota ini. Sehingga Seorang sahabat Rasullullah S.A.W, Abu Ayub Al Ansari pernah mengikuti ekspidisi perang menentang tentera Romawi di Constantinople ketika di zaman kerajaan Bani Umayyah. Beliau ingin jasadnya dikuburkan di tembok Constantinople dan ketika ditanya mengapa beliau ingin dikuburkan ditembok tersebut, beliau berkata kepada panglima Bani Umaiyah: "Aku mendengar baginda Rasulullah S.A.W mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut & aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda." Hadith ini dan peristiwa ini menjadi 'azimat' untuk meniupkan ruh jihad dan amanat yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w buat umatnya.
Pemuda berjiwa Islam
Kisah mengenai pemuda Islam berjuang mempertahankan agama bukanlah kisah yang baru. Dalam kisah-kisah Al-Quran dinukilkan golongan Ashabul Kahfi iaitu segolongan pemuda daripada bangsawan yang menyelamatkan akidah mereka dan meninggalkan kekayaan mereka seterusnya bersembunyi dalam gua. Mereka diberi nikmat tidur yang lama bagi membuktikan keimanan mereka bahawa mereka adalah pemuda yang terpelihara dek kerana iman mereka.
"Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." - al-Kahfi 18:14.
Mempunyai Sikap Pemimpin yang Berkarisma
Signal yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadith baginda mengenai seorang amir yang paling hebat dapat dinisbahkan dalam diri beliau. Dari kecil, beliau diasuh dengan budi dan akhlak Islam yang jitu. Sehingga membesar sebagai seorang pemuda yang menerapkan nilai Islam sebagai nilai tertinggi. Walaupun dalam tempoh yang singkat, beliau melengkapi diri sebagai seorang pemimpin yang mempunyai koleksi peribadi yang sesuai sebagai amir yang agung. Ketaatan kepada perintah Allah dan Rasulnya, begitu juga kemahiran dalam strategi pentadbiran menjadikan beliau seorang yang amat disegani oleh sejarah barat. Kombinasi pemuda yang berpegang pada Islam dan raja yang adil menjadikan beliau seorang yang amat tepat dengan hadith Nabi s.a.w bahawa antara golongan yang mendapat naungan arasy Allah di akhirat adalah pemuda yang mempertahankan agamanya dan raja yang adil.
Seorang yang mahir dalam Strategi Perperangan
Kisah bagaimana Muhammad Al-Fatih membuka kota konstantinople ini bukanlah calang-calang cerita. Bukan hanya bergantung kepada strategi lama, tetapi beliau mempunyai idea baru dalam memecahkan kekuasaaan byzantin di kota tersebut. Sebagaimana hebat kisah panglima perang Saifullah Khalid Al-Walid, bolehlah ditarafkan sama dengan kehebatan yang ada pada Muhammad Al-Fatih, tetapi hanya berbeza dari segi masa. Khalid Al-Walid terkenal dengan strategi gempurnya yang akhirnya membuka banyak tanah-tanah di kawasan utara dan menghalau tentera kristian dari tanah syria.
Terlintas dalam benak penulis ketika perang muktah apabila tentera muslim seramai 3000 berhadapan dengan hampir 200,000 tentera rumawi. 3 sahabat utama iaitu Zaid bin Harithah, Jaafar Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah iaitu tiga panglima yang disebut oleh rasulullah, gugur shahid. Ketika panji Islam gugur dari tangan Abdullah bin Rawahah, panji tersebut disambar gagah oleh Khalid Al-Walid yang kemudiannya mengemudikan tentera muslimin secara serantak dalam 3 bentuk kumpulan iaitu kumpulan penyerang, pertahanan dan kumpulan bantuan. Dengan kekuatan kuda yang pantas kumpulan penyerang dan pertahanan mara menggempur musuh. Beberapa tentera yang menganggotai kumpulan bantuan, bertindak keluar dari kumpulan penyerang dan pertahanan dan kemudiannya berpatah balik ke belakang gunung yang terletak disebelah belakang kumpulan muslimin. Lalu diperintahkan mereka menghentak kaki kuda sehingga penuhlah debu dilangit. Melihat keadaan ini, kecutlah hati para musuh memikirkan tentera bantuan yang banyak yang datang dari Madinah. Sedang tentera sebesar ini tidak tertahan oleh mereka, betapa sekiranya ada kumpulan bantuan datang dengan anggota yang mungkin lebih ramai. Mundurlah tentera rumawi sehingga kemenangan berpihak kepada Islam. Apabila kisah ini disampaikan kepada Rasulullah, lalu keluarlah dari Mulut baginda yang mulia "dialah saifullah".
Ikon ketenteraan islam ini boleh disamakan dengan apa yang dicapai oleh Muhammah Al-Fatih, apabila beliau cuba membuka kota konstantinople. Kota ini merupakan antara kota terakhir kerajaan Byzantin selepas kekuasaannya di syria dihancurkan oleh Khalid Al-Walid dan Abu Ubaidah bin Jarrah. Apabila tentera kristian keluar mereka bergabung di Konstantinople sebagai kubu akhir mereka di timur. Kota ini sangat unik apabila terletak antara dua daratan yang dipisahkan setiap satu dengan perairan. Apabila tentera uthmaniyyah cuba menawan kota ini, dua perkara utama yang dilakukan adalah memotong perhubungan kota dengna pihak luar dan yang paling utama adalah keupayaan beliau dan tentera beliau memikul kapal mereka menyeberangi daratan yang berbukit sebelum masuk kembali dalam perairan untuk menembusi tembok utama kota. Carilah tentera manapun masa kini, dulu dan selamanya, mempunyai kemampuan memikul kapal dan mengerakkannya di daratan.
Keupayaan Tentera yang Luar Biasa
Tahap kemodenan tentera dalam pemerintahan Muhammad al-Fatih telah berkembang. Selain diberikan keistimewaan seperti upah dan sebagainya, namun mereka tetap diterapkan dengan sengat keislaman yang tinggi. Ada pendapat yang mengatakan semua tentera baginda menjadikan solat malam sebagai budaya tentera. Baginda juga mengambil berat mengenai kebajikan tentera dan tidak menjadikan mereka sebagai alat untuk berperang semata-mata. Ini menimbulkan rasa enak dan keupayaan yang luar biasa dalam memperjuangkan agenda Islam melebihi perkara lain. Perjuangan mereka bukan atas dasar nasionalisme atau kenegaraan semata-mata, tetapi lebih kepada semangat memperluaskan pengaruh Islam dengan menakluki kota-kota utama kaum nasrani yang memberi ancaman kepada kawasan taklukan Islam. Ini menjadikan kelengkapan ketenteraan menjadi perkara sekunder dan melengkapkan diri dengan kekuatan iman dan amal menjadi keutamaan. Inilah yang berlaku dalam Islam.
Diplomasi mengatasi kekerasan ketenteraan
Seringkali pembukaan kota-kota diprovokasikan oleh ahli sejarah orientalis yang mendakwa kekerasan digunakan terhadap penduduk setempat. Mengambil kedudukan pembukaan kota Mekah sebagai simbol pembukaan, semua pembukaan kota-kota utama termasuk konstantinople ini dimulakan dengan proses diplomasi. Tidak ada kekerasan digunakan pada peringkat awal selain rundingan dengan pihak musuh. Sehinggalah musuh berdegil dan enggan tunduk kepada kekuatan Islam atau menyertai Islam, barulah kuasa ketenteraan digunakan. Cuma perbezaan antara kuasa tenteraan Islam adalah terhadap mereka yang memerangi Islam sahaja. Bagi mereka yang menyerah atau beriman, penyerahan atau penyertaan mereka menjadi tiket pelindungan Islam kepada mereka. Mereka tidak boleh disakiti dan dilayan sebagai Muslim. Proses diplomasi dan kehalusan layanan perang Islam membuatkan tentera bukan Islam hilang semangat berperang dan menjadikan serangan psikologi kepada mereka untuk berperang. Bagi Islam, kegananasan, kematian bukanlah menjadi isipati perjuangan. Tetapi kesejahteraan dalam agama yang menjamin kemenangan dan pembebasan daripada hukum Allah s.w.t.
Keterbukaan Pemimpin Mendengar dari akar umbi
Muhammad Al-Fatih adalah seorang yang sangat terbuka dalam mendengar pendapat daripada para panglimanya sehinggakan membuahkan strategi peperangan yang amat menarik dan diluar jangkaan musuh. Lihat sahaja bagaimana kapal-kapal perang ditarik dan ditolok melepasi bukit sehingga memasuki perairan kedua yang membolehkan tentera muslim mencium tembok pertahanan kristian. Keterbukaan ini menjadi semangat kepada tentera sehingga kesemua kapal berjaya dipindahkan ke perairan kedua menggunakan kayu dan kekuatan tenteranya yang teguh dan taat kepada pemerintah dan ruh hadith Rasulullah s.a.w yang meniup seluruh jiwa dan raga tentera Islam pada waktu itu.
Keberdampingan Pemerintah dengan Ulama
Tidak dinafikan, bimbingan yang dibuat oleh guru sultan Muhammad al-Fatih menjadikan baginda sentiasa terpandu dengan ruh Islam dan menjauhi persimpangan yang membawa kepada kerosakan akhlak, akidah dan ruhaniyyah. Majlis ulama ini menjadi nadi memberi nasihat kepada sultan dan Sultan Muhammad Al-Fatih pula seorang yang bijak mengadun resepi sufiyyah dan kemodenan dalam pentadbiran mereka. Kebijaksanaan pemerintah yang boleh mengadaptasikan keadaan ini menjadikan Muhammad al-Fatih sebaik-baik amir dalam sejarah pentadbiran Islam. Tepatlah seperti firman Allah s.w.t dalam Surah al-Kahfi:

"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran." - Al-Kahfi 18:28
Penutup
Sahabat, semanis mana bicara ketika mengenang kembali kejayaan umat Islam silam begitulah juga pahitnya mengenang kekalahan umat Islam. Kekuasaan Islam akhirnya tumbang setelah berkuasa hampir 1300 tahun dan pada tahun 1924 kerajaan bani Uthmaniyyah akhirnya tumbang atas faktor luaran dan dalaman yang amat misteri. Tanah-tanah Islam dihiris menjadi belahan-belahan kecil dan diangkat ketua-ketua yang bermacam-macam yang akhirnya menjadikan amat mustahil umat Islam mengecapi kesatuan dalam agamanya. Walaupun begitu, yakinlah, tumbangnya kekuasaan Islam bukan akibat kelemahan Islam, tetapi ketidakupayaan umat Islam untuk bersatu dan seia-sekata berlandaskan al-Quran dan Al-Sunnah. Namun, janji tuhan tetap kita imani. Akhir nanti, Islam akan tertegak kembali dan segalanya akan pulang kepada tuhan yang satu. Sambil tidak ada manusia yang akan berdiri menegakkan dunia ini kekal selamanya. Semuanya akan hancur di hadapan zat Suci Allah yang kekal, menghidup dan mematikan. /ah.
Labels: Tokoh
Posted by Amir Hamzah at 10:21:00 PM 2 comments Links to this post
Saturday, May 16, 2009
Guru, semanis wajahmu: Selamat Hari Guru
Selamat hari guru buat semua guru yang telah mendidik diri penulis menjadi "orang" yang boleh memberi sedikit sumbangan kepada negara.
"Ya Allah, aku doakan kepada mereka keamanan dan kesejahteraan sebagaimana mereka mendidik aku untuk keamanan dan kesejahteraan hidup didunia dan di akhirat. Hiasilah mereka dengan nurmu di akhirat kelak dan tempatlah mereka bersama-sama para syuhada' lantaran usaha mereka mendidik aku. Ampunilah mereka dan jadikanlah mereka ahli syurga mu. amin".
Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari guru kepada Cikgu, Ustaz dan Ustazah atas segala sumbangan mendidik saya tidak kira sama ada berbentuk ilmiah atau pendidikan lain yang membentuk diri saya sehingga hari ini. Saya yakin dan sedar bahawa apa yang saya kecapi pada hari ini adalah hasil daripada usaha dan didikan kalian semua tanpa saya rasa bahawa saya seorang yang melakarkan kejayaan ini tanpa bantuan orang lain.
Saya juga sedar segala ilmu yang diberikan adalah untuk tujuan saya mengecapi kejayaan dan mampu menghadapi kegagalan. Saya yakin bahawa segala sumbangan ini tidak terbalas jua oleh saya walaupun dengan emas dan permata. Justeru, saya serahkan segalanya kepada Allah s.w.t untuk membalas budi tuan puan.
Tanpa membezakan sumbangan sama ada di peringkat rendah, menengah atau pendidikan tinggi, saya mendoakan kesejahteraan semua guru-guru saya yang telah mendidik saya, semoga berada dalam kesejahteraan, keredhaan dan dapat berterusan mendidik dan memberi sumbangan kepada negara.
Sekali lagi saya memohon maaf atas segala kesalahan dan kekurangan yang telah saya lakukan. Mohon agar perhubungan ini diteruskan sehingga ke akhirnya hujung hayat kita.
Khas buat mu, guru-guru ku:
Sek. Keb. Chukai Kemaman
Cikgu Norhayati, Cikgu Roslan, Cikgu Rasyidah, Allahyarham Cikgu Nawawi Awang, Cikgu Basri Hashim, Cikgu Aziz, Cikgu Rahim, Cikgu Kamal, Ustaz Hamid, Cikgu Helmi dan semua guru-guru yang mengajar 1-6 Melati (1988-1993);
Sek. Men. Agama Al-Falah Kemaman Terengganu
Ustazah Aishah, Cikgu Zaharah, Ustazah Tuan Safawiyyah, Ustazah Wah Hafsah, Ustazah Naemah Hidayu, Cikgu Zaleha, Cikgu Wan Fauziah, Cikgu Fuziah, Ustazah Faezah Ismail, Cikgu Maziah, Cikgu Syarifah Sakinah, Cikgu Junaidi alias, Cikgu Khalid dan isteri (Cikgu Zaleha), Ustaz Wan Mansor, Allahyarham Ustaz Wan Anas, Ustaz Abdul Ghani, Ustaz Idris, Ustazah Lifah, Cikgu Mat Rani (1996 - Coach Badminton), Cikgu Fauzi dan semua guru-guru yang mengajar di tingkatan 1A-5A (1994-1998)
Universiti Malaya (Kampus Nilam Puri)
Ustaz Sidi (Pengelola), Ustaz Rosdi Ismail, Ustaz Bakhit, Ustaz Abdul Rahman, Ustaz Jailani, Ustaz Mustafa, Ustaz Alwi, Ustaz Abdullah, Mr Cheah dan semua pensyarah di Kumpulan 2 Kemasukan 1999-2000;
Universiti Malaya (Kuala Lumpur)
Syariah dan Undang-undang: Dr. Suwaid Tapah, Dr. Ahmad Hidayat Buang, Dr. Siti Zubaidah, Dr. Ruzman, Pn. Norizan, Dr. Mashitoh. Pensyarah Teras: Prof Dato' Mahmud Zuhdi abdul Majid, Dr. Rahimin Afandi, Dr. Rushdi Ramli, Dr. Faizah Ismail, Ustazah Aishah Ghani, Dr. Abdul Karim, Dr. Shamsiah dan semua pensyarah Ijazah Sarjana Muda Syariah Undang-undang 1999-2003, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Universiti Islam Antarabangsa (Law Center)
Dr. Najibah, Dr Farah Nini, Dr. Zulfakar, Dr. Ismail, Prof. Dr. Razali dan semua pensyarah program Advanced Diploma in Law and Administration of Islamic Judicary 2003-2004.
Diploma Pengurusan Awam (INTAN) 2006
Tuan Salim Parlan (Pengarah UDPA), Tuan Hj. Abdul Rahman (PPK1), Tuan Abdul Rahman (PPK2), Tuan Masri (PPK3), Tuan Mazlan Othman (PPK4) dan semua pensyarah INTAN, Penyelaras Projek (PP) UDPA.
Terima kasih semua. /ah.
Labels: Peribadi
Posted by Amir Hamzah at 7:14:00 AM 4 comments Links to this post